Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil gembira dengan sumbangan yang dihasilkan penyerang Chile, Ronnie Fernandez kepada pasukan itu semalam.
Perlawanan Liga Super antara Selangor dengan Negeri Sembilan FC menyaksikan Merah Kuning meraih kemenangan besar 4-0.
Fernandez membuka akaun golnya untuk musim 2024/25 menerusi gol pada minit ke-57. Noor Al-Rawabdeh menggandakan kelebihan Selangor pada minit ke-67.
Yohandry Orozco mudah menyempurnakan hantaran Aliff Haiqal Lau untuk gol ketiga pada minit ke-76. Pemain gantian, Reziq Bani Hani memastikan Selangor berpesta gol dengan gol keempat pada minit ke-90.
Nidzam mengakui gembira dengan input yang dibawa penyerang Chile itu tidak kira tanpa bola atau bila mendapat bola.
Dan beliau melihat kerja keras yang ditunjukkan Fernandez mendapat ganjaran setimpal menerusi gol pertamanya bersama Merah Kuning semalam.
“Saya suka dengan penglibatan Ronnie tanpa bola atau ada bola. Dia pun jaringkan satu gol kan, jadi itu baik kepada Ronnie. Tapi kita selalu beranggapan penyerang itu harus menjaringkan gol.
“Saya pula berpendapat selagi dia bekerja keras ada bola atau tiada bola, kerja keras untuk tutup ruang bila bertahan atau menyerang.
“Maka saya rasa dia ada bunga-bunga untuk menjaringkan gol. Dan hari ini dia mendapat satu gol,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena semalam.
Selepas ini, Selangor akan bertolak ke Jakarta, Indonesia untuk kejohanan RCTI Premium Sports yang berlangsung pada penghujung bulan ini.
Selain Selangor, kejohanan ini turut disertai Sabah FC, PSIS Semarang dan Persija Jakarta. Kejohanan itu bakal berlangsung dari 30 Mei hingga 2 Jun ini.