Negeri Sembilan mengumumkan kehadiran jurulatih baharu, Nidzam Jamil bagi membimbing pasukan untuk musim akan datang.
Perkara ini diumumkan menerusi sebuah kenyataan rasmi oleh Pengerusi NSFC, YAB Dato’ Seri Aminuddin bin Harun yang menganggap Nidzam Jamil adalah individu tepat bagi membimbing pasukan.
“Nidzam Jamil merupakan individu berpengalaman luas dalam landskap bola sepak Malaysia, baik sebagai bekas pemain kebangsaan mahupun jurulatih berprofil tinggi,” umum Negeri Sembilan FC.
“Kepakaran beliau dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasa NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif.”
Untuk rekod, Nidzam Jamil pernah melatih beberapa kelab di Liga Malaysia seperti Felda United, AirAsia FC dan KL SPA FC sebelum dilantik selaku jurulatih Selangor bagi musim 2024-2025.
Walau bagaimanapun jodoh Nidzam Jamil dan juga Selangor hanya bertahan sekitar 8 bulan sahaja sebelum beliau ambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada Oktober lalu.
NSFC turut mengucapkan selamat datang buat Nidzam Jamil dan merakamkan penghargaan kepada para penyokong serta pemegang taruh yang terus percaya dan memberi dukungan untuk skuad Jang.