Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil berjaya mengulangi rekod hebat yang dicipta oleh bekas pengendali, Tan Cheng Hoe.
Jurulatih muda itu memulakan tugas pertama berdepan Kedah Darul Aman selepas aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diteruskan susulan Gergasi Merah tidak hadir pada perlawanan tersebut.
Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik namun tuan rumah berjaya memperoleh tiga mata hasil jaringan pemain gantian, Aliff Haiqal Lau pada akhir permainan.
Kemenangan ini membolehkan Selangor meraih tiga mata pertama selepas tewas 3-0 menerusi kemenangan percuma yang diberikan kepada JDT tempoh hari.
Selangor berjaya mengekalkan pencapaian musim lalu apabila merekodkan kemenangan pertama pada aksi pembukaan musim.
Rekod Selangor berdepan Kedah juga berjaya dilebarkan selepas mengatasi Sang Kenari dengan kemenangan tipis 1-0 pada Disember tahun lalu.
The Red Giants juga kebal di laman sendiri ketika melayan kunjungan Kedah Darul Aman apabila menang 3-2 pada pertembungan di Stadium MBPJ tahun lalu.
Aksi berikutnya menyaksikan Selangor bakal melayan kunjungan Negeri Sembilan yang tewas 3-1 di tangan JDT.