Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri memulakan aksi di Olimpik Paris dengan cemerlang setelah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir 3 meter papan anjal.
Dalam aksi pusingan kelayakan pada Rabu, Dhabitah yang merupakan wakil tunggal wanita negara berada di giliran ke-21 daripada 28 peserta dari negara-negara lain.
Pada terjunan pertama, Dhabitah bermula baik dengan meraih kutipan mata 67.50 dengan darjah kesukaran 3.0 dan terikat mata bersama salah seorang penerjun China.
Di terjunan kedua, kutipan mata buat Dhabitah menurun sedikit namun kedudukan keseluruhan penerjun berusia 25 tahun ini masih kekal di tangga ke-2 dengan 130.50.
Kutipan 54.00 mata berhasil dikutip Dhabitah di terjunan ketiga menyebabkan kedudukannya sedikit menurun ke tangga ke-7 dengan 184.50 secara keseluruhan.
Dhabitah cuba bangkit di terjunan keempat namun hanya 48.00 yang berjaya dipungut sekali lagi dengan darjah kesukaran 3.0 untuk berada di ranking ke-12 dengan 232.50.
Kejayaan meraih 51.15 mata di terjunan terakhir membantu Dhabitah untuk mengesahkan tempatnya di separuh akhir dengan berada di tempat ke-12 secara keseluruhan.
Kedudukan pertama, kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik wakil Australia, Mexico dan juga China.
Separuh akhir 3 meter papan anjal wanita dijadualkan pada Khamis jam 4 petang dan sekiranya layak, Dhabitah akan terus bersaing di pusingan akhir pada jam 9 malam.