Aksi ketiga kumpulan B Sukan Olimpik Paris menyaksikan Maghribi catat kemenangan besar ke atas wakil Asia iaitu Iraq di Nice.
Maghribi dan Iraq turun dengan misi yang sama untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati setelah masing-masing merekodkan 1 kemenangan dan 1 kekalahan dalam aksi lalu.
Kesebelasan utama Maghribi diketuai oleh bek kanan PSG, Achraf Hakimi manakala Iraq pula mempertaruhkan Aymen Hussein di jentera serangan untuk merobek gawanglawan.
Penguasaan bola jelas memihak buat Maghribi dengan hantaran-hantaran pendek yang seterusnya menghasilkan jaringan pertama menerusi Amir Richardson pada minit ke-19.
Sembilan minit kemudian, giliran peledak utama Maghribi, Soufiane Rahimi pula mencetak nama selaku penjaring setelah tandukan susulannya gagal diselamatkan penjaga gol Iraq, Hussein Hassan.
Jentera serangan The Atlas Lion terus garang di hadapan pintu gol Iraq untuk menyumbat gol ketiga hasil lencongan cantik pemain sayap, Abdessamad Ezzalzouli pada minit ke-36.
Separuh masa pertama tamat, Maghribi 3-0 Iraq.
Kembali dari bilik persalinan, Iraq kelihatan terdesak untuk kembali bangkit dan membuat tiga pertukaran penting di bahagian serangan dalam misi menembusi benteng wakil benua Afrika itu.
Perubahan ini membawa kesan yang positif untuk corak permainan Iraq dengan beberapa gerakan menarik dicipta Lions of Babylon namun masih gagal menembusi pintu gol Maghribi.
Melihat kemenangan hampir pasti dalam genggaman, Tarik Sektioui selaku jurulatih Maghribi melakukan 3 pertukaran serentak bertujuan merehatkan beberapa pemain untuk aksi berikutnya.
Aksi di Allianz Riviera berakhir dengan keputusan 5-0 memihak Maghribi.
Kemenangan ini membawa Maghribi mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris selaku juara kumpulan B sementara Argentina muncul naib juara setelah menewaskan Ukraine dalam satu lagi aksi.