Desas-desus mengenai calon jurulatih baharu pasukan Oman terjawab apabila mengumumkan pelantikan jurulatih kelahiran Republik Czech menjelang pertemuan menentang Malaysia.
Individu yang dimaksudkan itu ialah Jaroslav Silhavy yang secara rasminya memulakan tugas bersama Oman bermula 1 Februari 2024 sebagai persiapan perjalanan Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pasukan ke-74 dunia itu mengharungi tempoh sukar di Piala Asia AFC 2023 di Qatar selepas tersingkir di peringkat kumpulan.
Hal ini membawa kepada pemecatan pengendali pasukan, Branko Ivankovic yang sudah hampir tiga tahun mengendalikan pasukan.
Menerusi satu pengumuman oleh Oman FA, Silhavy bakal mengambil peranan tersebut dan menggunakan pengalaman luasnya untuk membantu pasukan.
Jurulatiu berusia 62 tahun itu memiliki reputasi baik selepas pernah bergelar jurulatih beberapa kelab ternama.
Beliau juga baru sahaja tamat tugas sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Republik Czech setelah memegang jawatan tersebut hampir lima tahun sejak 2018.
Silhavy membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya selaku pengendali Czech setelah menewaskan Moldova 3-0 dan merasakan bahawa itu masa yang terbaik untuk membawa haluan baharu.
Tugasan pertama beliau adalah untuk membawa Oman meneruskan cabaran di Kelayakan Piala Dunia 2026 bertemu Malaysia di laman sendiri pada 22 Mac 2024.