Bekas pemain Everton, Amadou Onana sah menyertai Aston Villa bagi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim hadapan.
Menurut Fabrizio Romano, Onana yang beraksi di posisi tengah melengkapkan perpindahannya dari Everton dengan tanda harga bernilai 50 juta Euro beserta klausa tambahan.
Perpindahan pemain kebangsaan Belgium ini disahkan oleh Aston Villa sendiri menerusi satu kenyataan rasmi dari pihak kelab selain satu hantaran di media sosial pasukan.
”Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan ketibaan Amadou Onana dari Everton,” umum Aston Villa di laman X.
Onana yang menyarung jersi Everton sejak musim 2022/2023 telah merekodkan 72 penampilan buat The Toffees sepanjang dua musim lalu dan turut menjaringkan empat gol.
Kemasukan Onana pastinya menambah variasi di bahagian tengah skuad kendalian Unai Emery selain menggantikan tempat Douglas Luiz yang membawa haluan baharu ke Itali bersama Juventus.
Aston Villa kini sedang rancak membawa masuk pemain baharu seperti Lewis Dobbin dan 2 bekas pemain Chelsea, Ian Maatsen dan Ross Barkley untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Musim lalu, Unai Emery berjaya mempamerkan magisnya untuk membawa Aston Villa mengakhiri saingan liga di tempat keempat sekaligus meraih slot automatik untuk beraksi di pentas tertinggi kelab Eropah.