Advertisement
Ong Kim Swee Bakal Ikut Langkah Tan Cheng Hoe?
Transfer
MakanBola
Sabah FC/ Selangor FC

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpotensi untuk mengikut jejak langkah Tan Cheng Hoe.

Jurulatih berusia 53 tahun itu membuat keputusan untuk meninggalkan The Rhinos selepas hampir 36 bulan mengendalikan pasukan sungguhpun Sabah mengumumkan lanjutan kontraknya baru-baru ini.

Teka-teki mengenai destinasi baharunya terus hangat dibincangkan oleh peminat bola sepak tanah air ketika ini.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu dikaitkan dengan kepulangan ke Kelana Jaya setelah laporan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan berkenaan perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun dikhabarkan menerima risikan daripada kelab dari Liga 1 Indonesia sekaligus menyebabkan masa depannya menjadi tanda tanya.

“Datuk Ong Kim Swee umum tinggalkan Sabah, difahamkan beliau akan kembali ke Kelana Jaya.

“Beliau juga difahamkan turut mendapat tawaran ke Indonesia,” kata Zulhelmi di laman X.

Hal ini menyaksikan beliau berpotensi untuk mengikut jejak langkah Tan Cheng Hoe yang memilih untuk berkelana di luar negara sekiranya beliau membuat keputusan tersebut.

Cheng Hoe meninggalkan Selangor pada awal tahun 2024 untuk ke Thai League 1 bersama Police Tero namun hanya bertahan selama 4 bulan sahaja.

Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi berkenaan hala tuju terbaru Kim Swee tatkala beberapa kelab masih tidak memiliki ketua jurulatih setakat ini.

Penganalisis bebas bola sepak Malaysia, Juan Budiman memberi bayangan akan ada kepulangan dua watak penting negara ini ke kem Harimau Malaya namun masih tiada pengumuman rasmi berkenaan perkara ini.