Juara Piala Kelab Dunia FIFA, Man City berada pada laluan tepat untuk merekodkan kemenangan rutin ke atas Sheffield United semalam.
Bagaimanapun, perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut terpaksa ditangguhkan sebentar gara-gara tindakan seekor tikus menceroboh padang Stadium Etihad.
Rakaman tikus berkenaan yang berlari di atas padang sebelum separuh masa kedua perlawanan bermula tular di media sosial.
Akhbar Manchester Evening News melaporkan selepas melintasi padang, tikus tersebut bersembunyi sebentar dalam bekas botol air pasukan tuan rumah sebelum dihalau staf Manchester City.
Sebaik video tersebut tular, ramai yang geli hati dengan insiden tersebut. Gangguan tersebut tidak menggugat fokus City dengan mereka meraih kemenangan 2-0 ke atas The Blades.
Dua gol The Citizens disumbang oleh Rodri dan Julian Alvarez. Keputusan ini membolehkan City memintas Arsenal ke tangga ketiga selepas 19 perlawanan.
Sementara Sheffield United pula kekal di tangga tercorot EPL dengan sembilan mata selepas mengutip kekalahan ke-15 semalam.