Pasukan Pahang dilaporkan bakal kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M).
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan pasukan yang diberi jolokan Tok Gajah itu berhasrat menyertai Liga A1 Semi-Pro pada musim hadapan.
Sebelum ini, Pahang memilih menarik diri daripada saingan Liga Super musim 2024/25 meskipun sudah mendapat Lesen Kebangsaan untuk musim 2025/26.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan pengurusan Tok Gajah menstruktur semula dan memperkukuh kedudukan pasukan itu.
Susulan itu, Malaysian Football League (MFL) menjatuhkan hukuman penggantungan dan denda buat pasukan Pantai Timur itu.
Penggantungan selama semusim itu menyaksikan Pahang tidak boleh menyertai semua pertandingan anjuran MFL berkuat kuasa musim 2025/26.
Sekiranya hasrat Pahang menjadi kenyataan, pasukan itu akan menyertai Perak dan Kedah beraksi dalam saingan liga berkenaan.
Satu lagi pasukan Liga Super yang turut mempertimbangkan hasrat beraksi dalam Liga A1 ialah Terengganu FC.
Meskipun begitu, pengurusan Peteh dilaporkan mahu menimbang semua faktor yang ada terlebih dahulu sebelum membuat keputusan muktamad.