Park Hang-seo Bakal Beri Keterangan Di Parlimen Korea
MakanBola
AFC

Bekas jurulatih Vietnam, Park Hang-seo dijangka memberi keterangan di Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen versi Korea Selatan) berhubung prestasi buruk negara itu di Piala Dunia 2026.

TheThao247 melaporkan nama Hang-seo antara 13 orang individu yang akan dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Perhimpunan Kebangsaan pada 22 Julai ini.

Nama Hang-seo tersenarai disebabkan statusnya sebagai ketua delegasi Korea Selatan ke Piala Dunia. Ini selari dengan statusnya sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).

Susulan Korea Selatan tersingkir di Piala Dunia, Hang-seo bukan saja memohon maaf atas pencapaian buruk pasukan itu. Malah, beliau menggesa KFA menggunakan peluang itu untuk membuat penilaian semula dan membuat pembetulan.

Selain beliau, bekas jurulatih Korea Selatan, Hong Myung-bo juga dijangka melakukan perkara sama. Myung-bo ketika ini berada di Amerika Syarikat (US) tetapi berjanji akan kembali untuk memberi keterangan.

Selain mereka, bekas Presiden KFA, Chung Mong-gyu juga akan dipanggil memberi keterangan. KFA pula bakal diwakili dua naib presiden, Lee Yong-soo dan Kim Byung-ji.

Kapten Pahlawan Taeguk, Son Heung-min pada awalnya berada dalam senarai jawatankuasa badan perundangan itu untuk dipanggil sebagai saksi.

Walau bagaimanapun, perancangan tersebut dibatalkan kerana mengambil kira kekangan jadual yang dihadapi bekas penyerang Tottenham Hotspur itu. Heung-min ketika ini beraksi untuk kelab Los Angeles FC (LAFC).

Ahli Parlimen Parti Demokratik Korea (DPK), Cho Kye-won melihat sesi pendengaran ini sebagai peluang mengenal pasti isu ketelusan dan ketidakadilan yang wujud bukan saja dalam KFA tetapi juga industri sukan Korea.