Tonggak pertahanan Sabah FC, Park Tae-soo berharap penyokong dapat memenuhi Stadium Likas menjelang aksi separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.
Sabah bakal berdepan juara edisi 2014, Sri Pahang FC di Stadium Likas pada 18 Januari ini.
Sang Badak layak ke separuh akhir selepas menyingkirkan Kuching City FC di peringkat suku akhir. Sabah mara dengan keputusan agregat 1-0.
Justeru, Tae-soo mengharapkan kehadiran penyokong yang ramai untuk aksi berkenaan. Ini kerana kehadiran penyokong mampu menyuntik semangat barisan pemain Sabah bila berdepan Tok Gajah.
“Sudah lama tidak merasai (kehadiran) penuh (penyokong) di Stadium Likas,” katanya di ruang komen Facebook.
Susulan itu, beberapa penyokong memaklumkan mereka bersedia untuk hadir ke Likas sebagai tanda sokongan kepada Sang Badak.
Antara yang ingin berbuat demikian ialah seorang penyokong bernama Salah Taib. “Saya dan isteri dari Labuan akan datang Park Tae-soo. Tiket masuk sudah beli secara dalam talian. Sabah FC radu tetap radu,” katanya.
Seorang lagi penyokong bernama Matt Schweinsteiger turut memaklumkan dia juga akan berada di Likas untuk perlawanan itu. “Park Tae-soo, hadir juga bah nanti di Likas, kekal baik saja,” ujarnya.
Sabah berharap dapat mara ke final buat kali pertama sejak tahun 2003.