Tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim yakin dengan kemampuan ketua jurulatih, Pau Marti Vicente untuk membawa nafas baharu ke dalam skuad kebangsaan.
Pau Marti yang mengambil alih tugas Kim Pan-gon selaku ketua jurulatih skuad negara bakal menghadapi tugasan pertamanya di kejohanan Pestabola Merdeka bermula minggu hadapan.
Seramai 26 pemain telah dipanggil oleh jurulatih kelahiran Sepanyol ini dengan kepulangan lapan tonggak utama yang terpaksa disisihkan sebelum ini termasuklah pemain sayap, Arif Aiman.
Faisal pula ditemui ketika hadir ke sesi latihan kebangsaan pada Khamis berkata, kesemua 26 pemain yang dipanggil ini sudah cukup mengenali cara serta gaya Pau Marti di dalam pasukan.
”Sebelum ini, semasa ada Kim Pan-gon, Pau Marti menjadi pembantu jurulatih. Sekarang beliau menjadi pengendali, saya rasa semua pemain memahami dengan cara beliau.”
Tambah Faisal, beliau tidak pasti adakah taktikal baharu yang akan diterapkan ke skuad kebangsaan tetapi percaya akan ada pembaharuan yang dibawa oleh Pau Marti.
”Mungkin taktikal baharu, saya tak tahu tapi apa yang pasti sesuatu yang baharu untuk pasukan. Saya rasa semua pemain perlu bersedia dan fokus dengan apa yang Pau Marti mahu.”
Beliau turut menyeru orang ramai agar memberi sokongan yang penuh buat Pau Marti kerana untuk berada di posisi ketua jurulatih bukan tugas yang mudah.
”Kita perlu menyokong Pau Marti sepenuhnya kerana situasi seorang ketua jurulatih bukanlah mudah. Saya yakin semua pemain kekal bersama beliau (Pau Marti),” ujarnya di Wisma FAM.
Harimau Malaya sedang sibuk melakukan persiapan untuk bertemu Filipina dalam kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September ini dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.
Sekiranya skuad negara mencatatkan kemenangan, anak-anak buah Pau Marti akan berdepan pemenang di antara Lubnan dan Tajikistan pada Sabtu, 7 September hadapan.