Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente sempat menitipkan pesan buat pemain sayap, Faisal Halim.
Pau Marti telah diumumkan secara rasmi sebagai jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan Kim Pan-gon pada Rabu dalam satu sesi di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Turut diumumkan senarai 26 pemain bagi menghadapi Pestabola Merdeka yang menyaksikan kepulangan lapan tonggak utama yang kembali dipanggil termasuklah Arif Aiman.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan nama Faisal Halim, Pau Marti menjelaskan beliau gembira melihat kelibat pemain Selangor itu sudah turun semula ke padang semula kira-kira 4 bulan setelah ditimpa insiden ngeri.
”Pertamanya saya gembira melihat Faisal kembali beraksi semula dan membuktikan kekuatan serta karakter beliau,” ujar Pau Marti ketika sesi sidang media tersebut.
”Saya rasa ini satu perkara yang kini boleh ambil contoh (dari Faisal Halim) dan rasa berbangga dengannya.”
Walau bagaimanapun, pengendali kelahiran Sepanyol ini mahu Faisal memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan dan mencari semula rentak permainan bersama Selangor.
”Saya perlu katakan bahawa kami telah berhubung dengan beliau selama ini, saya telah berjumpa dan bercakap (dengan Faisal mengenai perkara ini).”
“Akan tetapi, saya fikir beliau (Faisal) perlu fokus kepada proses pemulihan dan minit permainan bersama Selangor,” komen bekas pembantu jurulatih Barcelona B itu.
Skuad negara akan berdepan Filipina pada 4 September ini dalam aksi separuh akhir Pestabola Merdeka manakala Lubnan akan berdepan Tajikistan pada hari yang sama di sebelah petang.
Pemenang bagi kedua-dua perlawanan ini akan bertemu di perlawanan akhir pada 7 September manakala pasukan yang tewas akan berdepan sesama sendiri di penentuan tempat ketiga.