Advertisement
“Paulo & Endrick Ada Kualiti Yang Diinginkan” – Kim Pan-gon
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Bagi membina skuad Harimau Malaya yang lebih mantap, 26 pemain lama dan baru dipanggil Kim Pan-gon untuk perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong. Dan Pan-gon percaya kehadiran Paulo Josue dan Endrick dos Santos menyuntik lebih banyak kualiti kepada skuad negara.

Kedua-dua pemain itu memperoleh status sebagai pemain naturalisasi Malaysia sebelum saingan Liga Super bermula. Kehadiran dua pemain ini membawa kualiti berbeza di setiap bahagian pasukan.

Josue yang juga kapten KL City bukan saja boleh menambah kualiti di bahagian tengah tetapi sokongan dari segi kepimpinan pasukan. Sementara dos Santos pula menambah bisa bahagian serangan – kualiti yang sememangnya dimahukan Pan-gon dalam pasukan kebangsaan.

“Walaupun Paulo dan Endrick ada kualiti yang saya inginkan terutama untuk menghidupkan jentera tengah tapi saya enggan beri mereka tekanan sebaliknya mahu mereka menjalani latihan seperti biasa dan dari situ saya mencorakkan taktikal permainan bagi membentuk rentak berintensiti tinggi,

“Mereka sudah membuktikan keupayaan apabila beraksi bersama kelab masing-masing yang menyaksikan kelibat mereka banyak membentuk pasukan malah ia juga akan beri impak positif pada skuad kebangsaaan bagi persiapan aksi dua perlawanan persabahatan.

“Apapun saya enggan meletak sasaran tinggi dan perlu bersabar kerana dalam tempoh latihan ini, sudah pasti akan dapat membentuk persefahaman di antara setiap pemain yang hadir pada latihan untuk persiapan aksi persahabatan nanti,” katanya kepada media selepas sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Selain Josue dan dos Santos, enam lagi pemain baru turut dipanggil bekas pengendali Hong Kong itu menyertai skuad kebangsaan. Mereka ialah Feroz Baharudin, Fayadh Zulkifli Amin, Damien Lee, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan pemain berdarah Malaysia-Finland, Nooa Laine.