Kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Turkmenistan semalam turut menyaksikan beberapa pemain membuat kemunculan sulung termasuk kapten KL City, Paulo Josue. Josue yang berpuas hati dengan kemunculan pertamanya berharap ia dapat diteruskan dalam perlawanan menentang Hong Kong pada 28 Mac ini.
Malaysia mencatat kemenangan menerusi gol tunggal pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid. Di sebalik kemenangan itu, Josue melihat masih ada ruang untuk penambahbaikan skuad kebangsaan sebelum aksi persahabatan seterusnya menentang Hong Kong.
Saya merasa amat gembira. Saya rasa sedikit letih memahami jurulatih dan segala tunjuk ajarnya dalam tempoh empat hari terakhir ini tetapi kita telah melakukan tugas dengan baik.
“Masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan dan kita ada beberapa hari lagi untuk berlatih, menganalisis video dan permainan kita untuk melihat apa aspek yang perlu diperbaiki.
“Tetapi saya amat berpuas hati dengan pasukan, para pemain. Mereka beraksi dengan baik di sini (Stadium Sultan Ibrahim). Jadi, saya harap kita dapat meneruskannya dalam perlawanan seterusnya dan menang sekali lagi,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan kepada Astro Arena.
Kapten City Boys itu turut mengakui persaingan di bahagian tengah Harimau Malaya amat sengit. Tetapi pemain berusia 34 tahun itu menyatakan walau siapa saja yang dipilih Kim Pan-gon ke kesebelasan utama, dia akan membantu pasukan meraih kemenangan.
“Saya fikir saya bersedia membantu pasukan. Terdapat ramai pemain di bahagian tengah. Tidak kira siapa yang diturunkan, saya pasti mereka dapat membantu (pasukan).
“Dan kita perlu bersaing merebut (slot bahagian tengah) semasa sesi latihan jadi terpulang kepada jurulatih siapa yang patut dipilih ke kesebelasan utama.
“Dan kita gembira untuk membantu dan menyokong antara satu sama lain dan itu yang paling penting sekarang ini. Kita bermain sebagai satu pasukan, kita bermain sebagai peminat dan cuba memenangi perlawanan, malam ini kita menang,” tambahnya.