Kapten KL City FC, Paulo Josue mengakui lawan mereka di separuh akhir Piala Malaysia 2023, Terengganu satu pasukan yang patut dihormati.
Ini kerana pasukan gergasi dari Pantai Timur itu telah mencipta kejutan dengan menyingkirkan Selangor FC di pentas suku akhir.
Ini satu pencapaian yang hebat memandangkan Selangor merupakan antara pasukan yang terkuat dalam liga selain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC).
Justeru, Paulo berharap rakan-rakan sepasukannya bersedia memberi cabaran hebat kepada skuad Peteh bila mereka bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu ini.
“Terengganu ialah satu pasukan yang kuat. Mereka menunjukkan prestasi bagus dalam beberapa perlawanan terakhir termasuk suku akhir menentang Selangor.
“Selangor merupakan pasukan yang paling sukar kita hadapi musim ini selain JDT. Dan Terengganu dapat menang di gelanggang sendiri dan lawan, jadi mereka dapat (banyak) keputusan bagus.
“Mereka pasukan yang bagus dan mempunyai pemain individu yang bagus. Dalam liga juga, mereka bangkit semula. Mereka bermula dengan kurang baik tetapi berjaya bangkit balik.
“Jurulatih mereka kekal dan mereka juga menukar beberapa orang pemain. Jadi, sudah tentu mereka pasukan yang kuat.
“Sudah pasti aksi pertama, stadium dijangka penuh dengan penyokong mereka. Jadi, kita perlu bersiap sedia dan berharap mendapatkan keputusan yang baik agar dapat layak ke final,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fateen Shazwani untuk Nadi Arena.
KL City berdepan Terengganu untuk aksi pertama separuh akhir pada Sabtu ini sebelum aksi timbal balik pada 3 November ini.