PDRM FC mahu mengubah rekod kurang memberangsangkan dan tidak memberi laluan mudah kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia 2024/25.
Berdasarkan rekod mereka dalam kejohanan itu sejak 2022, Sang Saka Biru berdepan penyingkiran pada pusingan 16 pasukan terbaik kejohanan.
Edisi 2022 menyaksikan PDRM disingkirkan KL City FC dengan keputusan agregat 4-0 sementara edisi 2023 pula menyaksikan Sang Saka Biru disingkirkan juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor FC.
Justeru, PDRM berharap dapat mengubah rekod berkenaan apabila berdepan Negeri Sembilan FC dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia.
Meskipun pasukan itu hadir dengan status pasukan berbajet kecil, pengurus pasukan, Insp Shamsul Hisham Abdul Razak tidak melihat itu sebagai satu halangan.
Beliau melaungkan keyakinan bahawa PDRM FC berkemampuan untuk mencipta kejutan ke atas tuan rumah yang dibimbing K. Nanthakumar itu.
Keyakinan itu dizahirkan Shamsul Hisham selepas melihat Sang Saka Biru menewaskan Sang Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 11 Ogos lalu.
Gol Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Bruno Suzuki sudah cukup untuk memadamkan kelebihan gol awal tuan rumah menerusi R. Barathkumar.
Terdahulu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor yakin Negeri Sembilan dapat mengalahkan pasukan yang dibimbing P. Maniam itu.
Ini kerana suntikan pelaburan yang diterima pengurusan skuad Rusa membolehkan pasukan itu membawa masuk beberapa muka baru. Antara muka baru yang dibawa masuk ialah Sebastian Avanzini dan Ricardo Pires.
Aksi antara Negeri Sembilan vs PDRM akan berlangsung pada Ahad, 24 November 2024.