Peguam Sukan Anggap Bekas Setiausaha Agung Tak Faham Statut FAM
MakanBola
FA Malaysia

Seorang peguam sukan menegur kenyataan yang dibuat bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad yang mempersoalkan tindakan badan induk itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Azzuddin mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM memberi mandat kepada Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Hj. Rahman dan Bendahari, Datuk Ismail Karim untuk tadbir urus badan induk berkenaan.

Ini susulan peletakan jawatan secara kolektif yang dibuat barisan Exco badan induk itu. Beliau turut menganggap ini kali pertama sebuah persatuan bola sepak seperti FAM dibimbing atau dipantau AFC.

Situasi ini mendorong peguam sukan, Zhafri Aminurrashid tampil membuat teguran berhubung kenyataan yang dibuat Azzuddin.

Zhafri mengingatkan bekas Setiausaha Agung FAM itu bahawa tindakan Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu dilihat selari dengan Artikel 38 Statut FAM.

“Jika dirujuk kepada Status FAM iaitu Artikel 38 yang jelas menyatakan bahawa jika lebih daripada 50% jawatan Jawatankuasa Eksekutif menjadi kosong, Setiausaha Agung hendaklah mengadakan Kongres Luar Biasa dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Oleh sebab itu, jawatan Setiausaha Agung perlu dikekalkan bagi memastikan peraturan Statut dapat dipatuhi sepenuhnya di dalam usaha FAM memulihkan imejnya.

“Lebih-lebih lagi Jawatankuasa Tatatertib FAM telah memutuskan bahawa Setiausaha Agung FAM tidak bersalah dalam saga pendaftaran pemain-pemain warisan sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zhafri turut menganggap kenyataan Azzuddin berhubung tindakan AFC membantu FAM sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Ini kerana pada hematnya, badan induk bola sepak Asia itu konsisten membantu dan memberi bimbingan teknikal kepada semua negara ahli (MA) mereka.

“AFC secara konsisten menjalankan program pemantauan, audit dan bimbingan teknikal terhadap banyak persatuan kebangsaan di Asia melalui pelbagai inisiatif seperti AFC Development Program, AFC Licensing, AFC Governance Reforms dan penilaian berkala berkaitan tadbir urus serta pembangunan bola sepak.

“Contoh yang terdekat adalah seperti yang pernah berlaku di Indonesia dan Brunei. Proses ini bukan pelik, bukan hukuman dan bukan tanda kelemahan mana-mana persatuan. Ia sebahagian daripada ekosistem bola sepak moden yang menekankan penambahbaikan berterusan, penjajaran standard antarabangsa, serta peningkatan kapasiti organisasi.

“Banyak persatuan di Asia termasuk negara ASEAN pernah melalui sesi audit, penilaian struktur, atau bimbingan teknikal oleh AFC dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Zhafri melihat kesediaan FAM menerima bantuan AFC sebagai tanda keterbukaan badan induk itu untuk melaksanakan penambahbaikan dan mengikut piawaian global.

“Oleh itu, menggambarkan kehadiran AFC sebagai tamparan hebat atau sesuatu yang memalukan adalah tidak berasas. Sebaliknya, ia menunjukkan keterbukaan FAM terhadap proses penambahbaikan, kesediaan menerima pandangan bebas dan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus serta operasi mengikut piawaian global.

“Bagi saya mudah, apa jua kritikan harus berpijak pada asas yang sahih agar tidak mengelirukan masyarakat dan tidak dibuat semata-mata untuk menyerang nama seseorang.

“Lebih elok kita beri masa secukupnya untuk FAM dan AFC melaksanakan tanggungjawab yang dipertuntukan kepada mereka,” tambahnya.

Susulan peletakan jawatan secara kolektif yang dibuat barisan kepimpinan FAM, AFC menghantar pasukan khas diketuai Timbalan Setiausaha Agung, Vahid Kardany.

Pasukan ini akan menilai setiap aspek pentadbiran badan induk itu selama tiga bulan. Laporan pasukan ini kemudiannya akan dibentangkan dalam Kongres FAM sebelum pemilihan kepimpinan baru badan induk itu diadakan.

Claim Money Packet TnG