Nama Usain Bolt terus diingati oleh peminat olahraga meskipun pelari legenda itu sudah bersara pada tahun 2017.
Bagaimanapun, peminat sukan dunia dikejutkan dengan berita bahawa legenda Jamaica berusia 37 tahun itu mengalami kerugian AS$12.7 juta (RM56 juta) pada Januari 2023.
Essentially Sports melaporkan hal ini berlaku disebabkan firma pelaburan Jamaica, Stocks and Securities Limited telah didakwa menyelewengkan wang pelaburan Bolt.
Bolt yang memiliki kekayaan berjumlah AS$90 juta (RM419 juta) diketahui aktif membuat pelaburan termasuk menerima tawaran sebagai duta jenama.
Walaupun berdepan kerugian akibat tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab, itu langsung tidak mematahkan semangat beliau untuk memanfaatkan kekayaan yang dimiliki untuk membantu Jamaica.
Malah, baru-baru ini, Bolt dengan kerjasama rakan kongsi Alpha Tree semakin hampir menyiapkan sebuah projek pembinaan bangunan komersial setinggi tujuh tingkat di negara itu.
Projek yang turut disokong firma pengurusan aset, VM Wealth Management itu dijangka dapat mewujudkan peluang ekonomi baru buat syarikat-syarikat kecil dan sederhana sekitar Jamaica.
Sebaik kemajuan projek ini dikongsikan Bolt di Instagram, ramai peminat memuji keazamannya untuk bangkit dan terus berbakti kepada negara di kepulauan Carribean itu.