Pelapis terbaik bek kiri Malaysia, Aaron Zehnter semakin menyinar di Jerman bersama pasukannya SC Paderborn.
Bersama SC Paderborn yang bersaing dalam saingan Bundesliga 2 musim ini, Zehnter telah beraksi 8 perlawanan dan menghasilkan 5 bantuan gol setakat ini.
Lebih manis lagi, Zehnter telah beraksi penuh 90 minit tanpa dikeluarkan dalam semua perlawanan SC Paderborn musim ini.
Dalam statistik yang direkodkan Sofascore, Zehnter telah mendapat penilaian melebihi 7/10 dalam hampir kesemua perlawanan yang dilalui.
Namun bukan mudah buat skuad kebangsaan Malaysia untuk membawa masuk Zehnter membarisi skuad Harimau Malaya.
Ini kerana, Zehnter berada dalam perkembangan bola sepak yang baik di Jerman selepas beliau dipanggil menyertai skuad bawah 20 tahun Jerman dan telah mempunyai dua penampilan bersama pasukan tersebut setakat ini.
Zehnter yang baru berusia 19 tahun sebelum ini telah dikesan mempunyai darah keturunan Malaysia melalui nenek sebelah ibunya. Namun masih belum dapat dikenal pasti tempat kelahiran neneknya dengan lebih terperinci.
“Beliau dilahirkan di Sonderhofen, Jerman. Aaron Zehnter mempunyai akar umbi Malaysia melalui neneknya di sebelah ibunya. Nenek sebelah ibunya dilahirkan di Malaysia. Dari bahagian mana di Malaysia neneknya datang masih belum dipastikan,” umum laman pencari bakat warisan, Fr Future Talents.
Jika Zehnter bersetuju untuk mewakili skuad kebangsaan, sudah pasti ianya menggembirakan peminat bola sepak tempatan lebih-lebih lagi pemain pertahanan kiri Harimau Malaya seperti Corbin Ong dan Daniel Ting semakin berusia.