Advertisement
Peluang Cerah Selangor Julang Piala
Piala Cabaran
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC berpeluang meraih satu trofi untuk kempen musim 2024/25.

Peluang itu muncul dalam saingan MFL Challenge Cup selepas The Red Giants mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kejohanan itu.

Selangor mara selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 3-0 dalam aksi suku akhir kedua pada 22 Disember lalu.

Sharul Nazeem Zulpakar, Ronnie Fernandez dan Danial Asri memastikan tiket separuh akhir milik Selangor. Ini memastikan The Red Giants meraih kemenangan 8-1 secara agregat.

Peluang Selangor meraih MFL Challenge Cup turut dibantu dengan prestasi baik pasukan itu dalam lima aksi terakhir semua kejohanan.

Selangor bukan saja meraih lima kemenangan dalam lima aksi terakhir pasukan itu. Malah, The Red Giants juga merekodkan 18 gol dan hanya dibolosi dua kali.

Keadaan ini berlaku kerana barisan pemain Selangor dilihat semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan yang dimahukan jurulatih Jepun, Katsuhito Kinoshi.

Selangor kini bakal menanti sama ada PT Athletic atau Penang FC sebagai lawan di peringkat separuh akhir. Penang memiliki kelebihan empat gol selepas menewaskan PT Athletic pada 10 Disember lalu.

Seandainya Sang Harimau Kumbang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, Selangor memiliki rekod baik dengan pasukan utara tanah air itu.

Ini kerana The Red Giants merekodkan kemenangan dalam lima aksi silam membabitkan kedua-dua pasukan itu. Ini termasuk kemenangan 4-1 ke atas Penang dalam saingan Liga Super pada 27 Julai lalu.