Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mendedahkan barisan pemainnya tidak pernah tersasar setiap kali melakukan latihan penalti.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang kegagalan Gabriel Magalhaes menyempurnakan penalti dalam aksi final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG).
Ramai peminat dan penganalisis bola sepak merasa pelik dengan keputusan Arsenal meletakkan bek tengah Brazil itu sebagai pilihan kelima untuk sepakan penalti berkenaan.
Lantas, Arteta menjelaskan Gabriel menawarkan diri mengambil kedudukan tersebut kerana pemain yang biasa mengambil sepakan penalti sudah dikeluarkan daripada permainan.
“Sejujurnya, beliau (Gabriel) mahu mengambil sepakan penalti yang kelima. Kita telah membuat persediaan dan berlatih untuk detik ini. Kebiasaannya, yang mengambil sepakan penalti sudah pasti ialah Bukayo (Saka), Martin (Odegaard) dan Kai (Havertz).
“Kita tahu jika kita memasuki masa tambahan penentuan penalti, orang yang mengambil sepakan penalti ialah orang yang berbeza. Meskipun begitu, dengan kualiti bila anda melihat Ebz (Eberichi Eze) mengambil penalti dalam latihan, beliau tidak tersasar.
“Tetapi pada ketika itu, anda perlu melakukannya. Ia sesuatu yang malang (buat mereka) tidak memiliki ketajaman dan keberkesanan yang sama yang mereka ada sebelum ini dan itulah sebab kita gagal memenangi (aksi final),” katanya seperti dilaporkan CBS Sports Golazo.
Kekalahan di tangan PSG menyaksikan Arsenal terus kempunan menebus kekecewaan bergelar naib juara yang dialami pada musim 2005/06.
Meskipun begitu, The Gunners tidak terlalu kecewa kerana berjaya menamatkan musim sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL). Ini sekaligus mengakhiri kemarau trofi EPL kelab utara London itu sejak musim 2003/04.