Advertisements
Pemain Australia Buat ‘Hal’, Jaring Gol Padu Dari Tengah Padang
TV
MakanBola
Isuzu UTE A-League

Tindakan seorang pemain A-League melakukan rembatan voli ke arah gol dari bahagian tengah padang menjadi bualan ramai peminat bola sepak Australia.

Perkara ini dilakukan oleh pemain tengah Melbourne City, Terry Antonis semasa kelab itu turun menentang Western Sydney Wanderers dalam aksi terbaru A-League semalam.

Selepas melambungkan bola ke bahagian tengah padang, Antonis terus melakukan percubaan voli yang menewaskan penjaga gol Wanderers, Lawrence Thomas pada minit ke-82.

Gol cantik pemain berusia 30 tahun itu memastikan City melakar kemenangan besar 7-0 ke atas pelawat.

Meskipun masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-54 menggantikan James Jeggo, gol tersebut melayakkannya dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Malah, Sofascore turut memberi markah 8.3 kepada Antonis kerana membantu City melakar kemenangan pada hari itu.

Sebaik saja klip gol berkenaan naik di media sosial, ramai kagum dengan kelebihan yang dimiliki beliau. Malah, ada yang percaya gol tersebut patut dicalonkan A-League sebagai calon Anugerah Puskas.

Gol tersebut turut memukau bekas pemain kebangsaan Australia, Craig Foster. Foster menyifatkan rembatan tersebut sebagai hebat dan sukar ditewaskan oleh mana-mana penjaga gol.

“Itu luar biasa, ya. Saya tidak boleh membuat jarak itu, itulah masalahnya. Terutama bukan pada usia saya sekarang. Itu satu voli yang hebat dan sempurna,” katanya kepada Nine’s Today.

Mengikut data Transfermarkt, Antonis telah membuat 18 penampilan, merekodkan lima gol dan mencipta dua bantuan jaringan untuk City.