Arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita buruk yang melibatkan salah seorang pemain Kedah Darul Aman (KDA), Amirul Hisyam Awang Kechik.
Berita duka ini dilaporkan menerusi laman X Kedah Darul Aman FC yang memaklumkan bahawa pemain tengah itu mengalami kemalangan ketika menunggang motosikal pada petang semalam.
Turut dikongsikan keadaan pemain berusia 28 tahun itu juga mengalami patah hidung dan keretakan di bahagian dagu beliau.
Amirul Hisyam Awang Kechik terlibat dalam kemalangan petang semalam ketika menunggang motosikal yang mengakibatkan hidung beliau patah dan turut mengalami keretakan bahagian dagu”, tulis Kedah Darul Aman di laman X rasmi pasukan.
Dalam ciapan yang sama, seluruh warga Kedah Darul Aman mendoakan kesembuhan buat beliau dan semoga beliau tabah mengharungi dugaan yang menimpa.
“Warga KDA FC mendoakan agar beliau cepat sembuh dan sabar menghadapi ujian ini.”
Amirul Hisyam merupakan tonggak tengah Kedah sejak 2016 dan pada musim ini beliau melakukan penampilan sebanyak 13 kali di Liga Super dan melakukan 2 bantuan jaringan.
Antara kejayaan manis beliau bersama jaguh utara tanah air itu pastinya membantu Kedah meraih gelaran juara Piala FA dan Piala Sumbangsih pada tahun 2017.