Usaha keras yang dipamerkan pendatang baru Liga A1 Semi Pro, Machan FC semasa menentang Imigresen FC mendapat pujian peminat bola sepak Borneo.
Machan turun menentang juara liga edisi 2023, Imigresen FC di Stadium UKM, Bangi untuk aksi ketiga liga.
Pasukan yang dibimbing S. Balachandran itu mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-17 menerusi Khairul Jemi.
Tersentak, Imigresen bangkit dengan menyumbat dua gol menerusi Hazim Abu Zaid dan ThankGod Michael Ogwuche pada minit ke-33 dan 35. Furqan Azri memastikan Imigresen mendahului 3-1 sehingga rehat separuh masa.
Babak kedua menyaksikan Imigresen terus selesa mendahului menerusi Ogwuche pada minit ke-71. Machan cuba merapatkan jurang menerusi Afiq Yunus pada minit ke-79 tetapi keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun tewas, ramai peminat memuji semangat juang yang dipamerkan pasukan yang berpangkalan di Sarawak itu di ruang komen Facebook. Ini kerana Machan tetap melawan walaupun berdepan lawan yang lebih handal seperti Imigresen.
Salah seorang yang berpandangan sedemikian ialah seorang peminat bernama Mohd Syafiq. Semangat juang Machan patut dipuji lebih-lebih lagi bila berdepan Imigresen yang dibarisi beberapa bekas pemain Liga Super.
“Masih mampu melawan walaupun lawan bukan calang-calang, banyak bekas pemain Liga Super,” katanya di ruang komen pasukan itu.
Seorang lagi penyokong bernama Jaafar bin Sarkawi turut senada dengannya. Dia menyifatkan Machan tidak bernasib baik dalam perlawanan itu dan berharap pasukan tersebut bangkit semula.
“Perlawanan terbaik, cuma tiada nasib saja. Yang dilawan pun bukan calang-calang. Tahniah, tetap terbaik Machan FC,” ujarnya.
Machan selepas ini akan turun menentang PT Athletic dalam aksi keempat liga pada 29 Jun ini.