Tonggak tengah skuad Malaysia berkongsi mentaliti kemenangan yang dimiliki para pemain dalam setiap perlawanan yang mereka hadapi.
Menurut Endrick Dos Santos, kesemua pemain yang telah dipanggil untuk menyertai kem latihan kebangsaan perlu menanam mentaliti ingin mencapai kemenangan ini dalam setiap aksi Harimau Malaya.
“Saya kira apabila kita berada di sini (kem latihan kebangsaan) mentaliti kita adalah untuk sentiasa menang,” ujar Endrick ketika ditemui di Wisma FAM pada Jumaat.
Bagi beliau, mentaliti positif ini sinonim dengan skuad negara yang dahagakan kemenangan tanpa mengira siapa pun lawan yang bakal ditempuh selepas ini.
“Ini adalah mentaliti Malaysia, kita mahu menang semua perlawanan. Tidak kira siapa lawan kita, kita mahu menang,” tambah pemain Ho Chi Minh City ini.
Endrick turut berharap sikap ini dapat diterapkan untuk berdepan Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka sekaligus menjadi langkah pertama sebelum membawa gelaran juara.
“Ya, mentaliti kita adalah untuk menang dan menjulang kejuaraan.”
Harimau Malaya sedang sibuk melakukan persiapan untuk bertemu Filipina dalam kempen Pestabola Merdeka pada 4 September ini dengan sepak mula tepat jam 9 malam.
Sekiranya skuad negara mencatatkan kemenangan, anak-anak buah Pau Marti akan berdepan pemenang di antara Lubnan dan Tajikistan pada Sabtu, 7 September hadapan.