Tonggak Harimau Malaya, Endrick Dos Santos mahu fokus untuk turun menentang Filipina dalam perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024.
Khidmat Endrick ditagih Pau Marti Vicente bagi membantu jentera tengah skuad Harimau Malaya dalam perlawanan pertama kejohanan Pestabola Merdeka berdepan Filipina.
Menurut Endrick, para pemain kini gembira dan teruja untuk menjelang sepak mula aksi pertama Rabu hadapan.
”Kami sangat gembira berada di sini, berbangga dapat mewakili Malaysia dan kejohanan ini sangat penting untuk kami,” katanya ketika ditemui di Kelana Jaya pada Jumaat.
Tambahnya lagi, perlawanan menentang Filipina akan menjadi fokus utama skuad Harimau Malaya meskipun bakal berdepan dua jaguh Asia, Lubnan atau Tajikistan selepas itu.
”Bagi kami, aksi berdepan Filipina menjadi keutamaan sekarang dan selepas itu baru kami akan memikirkan mengenai lawan (Tajikistan atau Lubnan) seterusnya,” ujar pemain Ho Chi Minh City itu.
Harimau Malaya sedsng sibuk melakukan persiapan untuk bertemu Filipina dalam kejohanan Pestabola Merdeka pada 4 September ini dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.
Sekiranya skuad negara mencatatkan kemenangan, anak-anak buah Pau Marti akan berdepan pemenang di antara Lubnan dan Tajikistan pada Sabtu, 7 September hadapan