Seorang pemain bola sepak wanita muda Australia mengakui memiliki darah Malaysia.
Pemain yang dimaksudkan ialah pemain wanita Australia B-17, Sakura Leong. Maklumat tersebut dikongsikan Harimau Abroad menerusi satu hantaran di X baru-baru ini.
“Sakura Leong yang dipanggil untuk menyertai Australia untuk kempen Piala Asia Wanita B-17 2026 mengesahkan bahawa dia memiliki darah warisan Malaysia,” katanya.
Sakura dilihat antara tonggak utama skuad bola sepak wanita Junior Matildas. Selain dipanggil menyertai kempen Piala Asia Wanita B-17, dia juga dipanggil menyertai kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-17 dan Kejohanan Wanita ASEAN B-16 2025.
Malah, Sakura juga menjadi sebahagian daripada pasukan bola sepak wanita muda Australia bergelar juara Kejohanan Wanita ASEAN B-16 2025.
Meskipun begitu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berdepan tugas sukar jika mahu mendapatkan Sakura mewakili Malayan Tigress pada masa akan datang.
Ini kerana pemain itu memiliki aspirasi untuk mewakili skuad utama Matildas pada masa hadapan. Sakura turut menjadikan penyerang Chelsea dan Australia, Sam Kerr sebagai figura yang mahu dicontohinya.
Dia turut membantu skuad wanita Australia B-17 membuka kempen Piala Asia Wanita B-17 dengan positif. Ini selepas pasukan Junior Matildas mengatasi cabaran India 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan B.