Pemain muda Singapura, Helmi Sharul hanya memerlukan kira-kira 20 saat untuk menjaringkan gol dalam kejohanan Lion City Cup 2023 yang berlangsung di Stadium Jalan Besar.
Perlawanan yang melibatkan pertembungan pemain muda Singapura dan Selangor berakhir dengan kemenangan bergaya milik pasukan tuan rumah. Skuad muda Singapura berjaya menewaskan skuad muda Selangor dengan keputusan 3-1.
Diberi kepercayaan pengendali pasukan Angel Toledano, Helmi menggalas tanggungjawab tersebut dengan cukup baik selepas dimasukkan pada babak kedua permainan. Sebaik sahaja meluru masuk ke padang, sentuhan pertama pemain ini terus menyumbang gol buat Singapura.
Helmi yang peka dengan hantaran jauh daripada rakan sepasukan bertindak tenang mengawal bola, melepasi satu pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan ke penjuru kiri gawang. Percubaan kencang itu gagal diselamatkan penjaga gol Selangor.
Ketenangan yang dimiliki pemain berusia 15 tahun ini turut mendapat perhatian ramai.
Untuk makluman, kejohanan Lion City Cup kini kembali selepas sekian lama tidak dipertandingkan sejak tujuh tahun lepas. Kejohanan bawah 15 tahun edisi kali ini melibatkan empat penyertaan pasukan daripada Singapura, Malaysia (Selangor), Thailand (BG Pathum) dan Indonesia (Borneo).
Pada semalam telah berlangsungnya aksi final kejohanan Lion City Cup 2023 ini.
Skuad muda BG Pathum telah dinobatkan sebagai juara selepas berjaya atasi Singapura menerusi penentuan sepakan penalti sementara skuad muda Selangor pula menyandang gelaran tempat ketiga selepas berjaya menewaskan pasukan Borneo, 2-1.