Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan meluahkan rasa kecewa beliau terhadap perejam negara, Azlan Alias.
Sebelum ini, Azlan dilaporkan perlu berehat selama dua bulan selepas mengalami keretakan pada bahagian siku kiri.
Kecederaan itu dialami semasa aksi final regu berpasukan Piala Asia Sepak Takraw antara Malaysia dan Thailand pada Mei lalu.
Meskipun begitu, itu tidak menghalang Azlan daripada beraksi dalam beberapa perlawanan Divisyen 1 Sepak Takraw League (STL) untuk Melaka Titans baru-baru ini.
Apabila diminta mengulas perkara berkenaan, Sumali mengakui merasa kecewa dengan apa yang berlaku.
“Anda bintang ke, anda main hebat ke, anda nombor satu ke, anda nombor negatif satu ke.
“Tapi kalau tiada disiplin, tak menghormati kepimpinan (PSM) dan arahan-arahan terutamanya daripada doktor, saya kenalah ambil tindakan juga.
“Takkan saya nak biar, ini pengajaran kepada semua pemain. Sebab ini dalam konteks anda pemain Malaysia, keutamaan kita ialah Malaysia dulu,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Susulan itu, Azlan kini perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan PSM dalam tempoh tujuh hari bermula 3 Jun lalu.