Jurulatih Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain memaklumkan tiada kudrat pemain Malaysia yang berpangkalan di luar negara untuk skuad kali ini.
Sebaliknya, kudrat pemain tempatan bakal menjadi sandaran pasukan itu bagi menghadapi beberapa kejohanan termasuk Piala Mandiri B-23 ASEAN pada Julai ini.
“Buat masa sekarang ini, kita tiada pemain Malaysia yang berpangkalan di luar negara. Hanya semua pemain tempatan untuk pasukan kita.
“Kita ada kumpulan pemain yang agak ramai. Ini memberi ruang kepada kita untuk memilih pemain terbaik untuk kejohanan akan datang.
“Ini memberi ruang kita menilai pemain-pemain. Ini juga peluang untuk kita mencari bakat-bakat baru yang kita beri ruang. Pemain yang terbaik kita akan panggil balik pada 1 Julai nanti untuk kem pertama kita,” katanya dalam sidang media hari ini.
Malaysia B-23 berada dalam Kumpulan A Piala Mandiri B-23 ASEAN bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei.
Skuad negara akan membuka kempen kumpulan menentang Filipina pada 15 Julai ini. Malaysia B-23 bakal mengadakan kem pertama mereka pada 1 Julai ini.