Arena bola sepak Vietnam dikejutkan dengan insiden bekas pemain negara itu, Le Sy Manh menyerang pengadil perlawanan.
Tuoi Tre Online melaporkan insiden ini berlaku dalam satu kejohanan bola sepak tujuh sebelah yang diadakan di Ho Chi Minh City pada 22 Disember lalu.
Pengadil perlawanan, Pham Van Nguyen melayangkan kad kuning kepada Sy Manh selepas beliau dikesan menyiku dada pemain lawan.
Pemain berusia 40 tahun itu cuba menjelaskan apa yang berlaku tetapi tidak dilayan oleh Van Nguyen. Hal ini menyebabkan Sy Manh bertindak menyapu muka pengadil dengan tangannya.
Tindakan bekas penyerang Thanh Hoa itu menyebabkan Van Nguyen melayangkan kad kuning kedua kepadanya. Sy Manh yang berang kemudiannya bertindak menendang dan menumbuk pengadil tersebut.
Meskipun tindakannya cuba dihalang pemain lain dan pegawai perlawanan, bekas penyerang Vietnam itu masih mengejar Van Nguyen untuk menumbuknya.
Insiden ini tular di media sosial disebabkan perlawanan tersebut disiarkan secara langsung di media sosial Vietnam. Ini menyebabkan peminat bola sepak Vietnam mengecam sekeras-kerasnya tindakan Sy Manh.
Van Nguyen kemudiannya memaklumkan bahawa beliau tidak mengalami sebarang kecederaan meskipun diserang pada bahagian pinggul.
“Kesihatan saya dalam keadaan normal. Saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius walaupun saya ditendang di bahagian pinggul,” katanya.
Selepas insiden tersebut tular, Sy Manh kemudiannya membuat permohonan maaf atas apa yang berlaku. Beliau mengakui kegagalannya mengawal emosi menyebabkan beliau hilang pertimbangan pada ketika itu.
“Saya rasa kesal dengan insiden ini dan sedar tindakan saya bukan saja menjejaskan kejohanan tetapi juga kehilangan kepercayaan penyokong dan pencinta bola sepak,” katanya seperti dilaporkan VTC News.
“Saya memohon maaf secara ikhlas kepada penganjur kejohanan kerana tidak menyumbang kepada kejohanan profesional dan adil seperti yang dimahukan.”
Sy Manh turut memohon agar diberi peluang kedua akibat insiden itu. Beliau berjanji beliau akan melakukan yang terbaik untuk menebus kepercayaan peminat.
Ini bukan kali pertama Sy Manh terlibat dalam insiden sebegitu rupa. Sebelum ini, beliau juga pernah dipecat Hai Phong pada 2017 kerana tindakannya menyerang penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.
Tindakan Sy Manh menyebabkan Van Lam panik dan terjatuh semasa cuba melarikan diri. Situasi itu menyebabkan penjaga gol berdarah Vietnam-Russia itu mengalami kecederaan buku lali.
Susulan itu, Hai Phong memutuskan untuk memecat Sy Manh yang ketika itu menggalas peranan sebagai penolong jurulatih kelab berkenaan.