Advertisement
Pemain Warisan, Daniel Ren Yi Pasang Niat Beraksi Buat JDT & Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
TFA Elite

Pemain muda warisan, Daniel Ren Yi memasang impian untuk mewakili Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Harimau Malaya pada masa hadapan.

Hasrat ini diluahkan pemain berusia 18 tahun itu kepada portal Scoop baru-baru ini. Daniel ketika ini mewakili The Football Academy (TFA) Elite dalam saingan divisyen tiga Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebelum menerima tawaran akademi tersebut, dia pernah menjalani sesi percubaan dengan pasukan JDT IV. Malangnya, isu dokumentasi membabitkan kerakyatannya menyebabkan pengurusan Harimau Selatan terpaksa melupakan hajat mendapatkan Daniel.

Meskipun tidak dapat menyertai JDT, dia bersedia memilih pasukan itu sekiranya ingin berkecimpung dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Saya pernah menjalani sesi percubaan dengan JDT pada Jun tahun lepas dan ia berjalan lancar.

“Saya juga bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan untuk mereka menentang pasukan Akademi Mokhtar Dahari Bawah 16 Tahun (B-16) dan Bawah 17 Tahun (B-17), dan itu satu pengalaman yang bagus untuk saya.

“JDT mahu mendapatkan saya tetapi mereka tidak dapat meneruskan (proses) disebabkan isu membabitkan kerakyatan saya. Beberapa urusan dokumentasi ketika itu sedang berjalan dan saya juga menunggu kad pengenalan saya.

“Mewakili skuad senior Malaysia atau Bawah 23 Tahun (B-23) merupakan matlamat terbesar saya, dan saya teringin bermain untuk JDT jika saya mempunyai karier di Malaysia.

“JDT ialah kelab terbesar di negara ini dan mereka memiliki kemudahan terbaik yang saya pernah rasai di Malaysia.

“Ia satu impian bagi setiap pemain untuk beraksi dengan kelab yang memenangi pelbagai trofi dan bermain bola sepak kompetitif. Saya sudah tentu akanmahu mencuba nasib saya pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Daniel turut mendedahkan beliau ada menerima beberapa tawaran kelab dari seluruh dunia. Walau bagaimanapun, beliau ingin kekal bersama TFA Elite buat masa ini.

Ini kerana pasukan itu dilihat batu loncatan terbaik buat dirinya bukan saja mengembangkan karier di Eropah. Malah, ini akan membuka jalan buat Daniel untuk menyertai skuad kebangsaan.

“Saya ada mendapat beberapa tawaran dari seluruh dunia, tetapi rancangan saya buat masa ini adalah untuk mengembangkan karier saya di Eropah jika boleh.

“Saya secara peribadi percaya bahawa lebih ramai pemain bola sepak Malaysia harus menyertai program pertunjukan bakat TFA kerana ia membawa banyak faedah (kepada mereka).

“Matlamat peribadi saya ialah bermain untuk pasukan kebangsaan dan juga mencuba nasib dengan Paris Saint-Germain atau Real Madrid ketika saya mencapai usia 20 tahun,” tambahnya.

TFA Elite bersaing dalam divisyen tiga UAE, divisyen yang mengandungi 14 buah kelab. Pasukan itu dibimbing bekas pemain Newcastle United dan Liverpool, Danny Guthrie.