Advertisement
Pemilik ‘Hotel Continental’ Bakal Diberikan Pingat Di Old Trafford
EPL
MakanBola
ScreenRant

Siapa tidak kenal watak pemilik Hotel Continental, Winston Scott yang dibawa Ian McShane dalam francais filem John Wick. Dan namanya akan lebih dikenali selepas ini kerana bakal menerima pingat kejuaraan liga daripada kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.

Ini selepas bapanya, Harry membantu skuad yang dibimbing Sir Matt Busby menjulang kejuaraan liga pada tahun 1952. Keputusan ini dibuat oleh pengurusan Red Devils selepas mereka berjaya merayu kepada Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) untuk membenarkan Harry dianugerahkan pingat kejuaraan liga tahun berkenaan.

Berdasarkan peraturan EFL sebelumnya, hanya pemain yang membuat 14 penampilan saja yang layak mendapat pingat. Hal ini tidak terpakai kepada Harry kerana beliau hanya membuat 12 penampilan bersama Red Devils untuk musim 1952.

Tetapi selepas EFL mengubah peraturan, kelab boleh menganugerahkan pingat kejuaraan kepada bekas pemain mereka dengan syarat mereka bermain sekurang-kurangnya lima perlawanan.

Beberapa kelab sudah mula melakukannya seperti Manchester City dan Everton selepas meneliti kajian sejarah yang dibuat sejarawan bola sepak Ian Ross. Kini, United mengambil langkah sama selepas kajian tersebut mendedahkan 20 bekas pemain mereka layak menerima 23 pingat kejuaraan.

Daripada 20 pemain, hanya lapan yang masih hidup seperti bekas penjaga gol David Gaskell dan bekas pengurus Reading, Steve Coppell. Justeru, United merancang mengadakan satu majlis istimewa di Old Trafford pada musim hadapan bagi meraikan bekas pemain dan waris-waris mereka termasuk McShane.

Ini kerana dengan mengadakan majlis tersebut, ia bukan sekadar meraikan sejarah dan pencapaian mereka bersama Red Devils. Malah, ia diharap menjadi inspirasi kepada anak-anak buah Erik ten Hag untuk melakar pencapaian lebih baik untuk musim 2023/2024.