Seorang pempengaruh Korea Selatan menyifatkan perasaan sayang jurulatih negara, Kim Pan-gon terhadap Faisal Halim sebagai luar biasa.
Komen itu dinyatakan pempengaruh Korea yang dikenali sebagai The Football Bohemian selepas bertemu dengan Pan-gon baru-baru ini.
Nama bintang Selangor FC itu menjadi sebutan ramai selepas menjadi mangsa kes simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali pada bulan lalu.
Ini menyebabkan beliau perlu menjalani empat pembedahan di sebuah hospital di Lembah Klang sebelum dibenarkan meninggalkan hospital pada 25 Mei lalu.
Meskipun Faisal perlu menempuh proses pemulihan yang panjang di satu lokasi yang dirahsiakan, semangat juangnya untuk kembali pulih mengagumkan ramai pihak.
Atas sebab itu, topik pemain sayap Harimau Malaya itu menjadi antara topik perbualan Pan-gon dan pempengaruh Korea Selatan itu.
Pan-gon bukan saja mendoakan agar Faisal kembali pulih. Malah, beliau percaya pemain sayap berusia 26 tahun itu berpotensi kembali sebagai aset utama skuad kebangsaan.
Ini membuatkan The Football Bohemian kagum dengan sikap penyayang jurulatih Malaysia itu terhadap para pemainnya dan menyifatkan perkara ini sebagai luar biasa.
“Saya sempat berjumpa dengan jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon hari ini (semalam) dan berbual tentang banyak perkara.
“Beliau mendoakan kesembuhan penyerang Malaysia, Faisal Halim yang menjadi mangsa serangan asid baru-baru ini dan berkata, ‘Jika beliau kembali sihat sebagai pemain bola sepak, ia akan jadi satu pertolongan hebat kepada pasukan Malaysia dan (Faisal) Halim akan jadi wira negara.’
“Rasa sayang anda kepada para pemain anda sememangnya luar biasa,” katanya dalam satu hantaran di X.
Faisal dilaporkan bakal membuat kemunculan menerusi satu sidang media khas yang diadakan pada hari esok.