Penang Catat Kemenangan Ke Atas Geylang International
Dunia
Penang FC
Advertisements

Penang terus menunjukkan prestasi baik dalam pra-musim mereka. Dalam perlawanan pertama kejohanan pra-musim Piala Harapan 2023 yang berlangsung semalam, skuad Harimau Kumbang membenam kelab Singapura, Geylang International 4-0 di Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan.

Sebaik sepak mula, Penang mendahului seawal minit kedua menerusi Azmeer Aris selepas menerima hantaran Hadin Azman.

Tersentak, Geylang cuba bangkit. Tetapi tuan rumah hampir menambah jaringan menerusi beberapa percubaan termasuk pemain import Sonny Saad tetapi gagal menembusi gawang pelawat yang dikawal Hafiz Ahmad.

Advertisements

Geylang terus malang apabila pemain pertahanan mereka menjatuhkan Sonny dalam kotak penalti. Penalti tersebut mudah disempurnakan bek tengah Rafael Vitor bagi meletakkan Penang 2-0 di hadapan.

Rahmat Makasuf menyumbat gol ketiga tuan rumah pada minit ke-34. Sepakan percuma yang diambil mencetuskan situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Geylang sebelum Rahmat mudah menanduk bola melepasi Hafiz. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat, Geylang menggandakan asakan bagi merapatkan jurang gol. Pemain Jepun, Yushi Yamaya mencemaskan pertahanan Harimau Kumbang dengan larian pantasnya tetapi usaha The Eagles memburu gol tidak berhasil.

Sebaliknya, tuan rumah menambah gol keempat menerusi Giovane Gomes pada minit ke-82 selepas menerima umpanan bekas pemain Terengganu, Nik Akif Syahiran Nik Mat. Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Advertisements

Dengan keputusan ini, Penang mara ke final Piala Harapan 2023 dan menanti sama ada Kedah atau Selangor sebagai lawan mereka pada 4 Februari ini.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram