Advertisements
Penang Umum Ketibaan Wan Rohaimi
Transfer
MakanBola
KLCFC/PFC

Bekas penolong jurulatih KL City, Wan Rohaimi Wan Ismail diperkenalkan secara rasmi selaku ketua jurulatih Penang yang baharu.

Menerusi satu hantaran di media sosial Penang FC, jurulatih berusia 48 tahun itu diumumkan bakal mengambil alih tugas yang dipegang oleh pengendali terdahulu, Akmal Rizal.

Wan Rohaimi bin Wan Ismail kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan Liga Super Penang FC,” umum Penang FC dalam satu hantaran di Facebook.

“Beliau membawa pengalaman luas dalam arena bola sepak Malaysia, baik sebagai pemain mahupun jurulatih,” ujar kelab utara tanah air itu.

Nama Wan Rohaimi tidaklah asing bagi industri bola sepak tempatan apabila beliau pernah melatih beberapa pasukan seperti Tumpat FA, NFDP, PDRM dan pembantu jurulatih KL City musim ini.

Wan Rohaimi juga sebelum ini pernah bergelar pemain bagi pasukan Penang pada tahun 2003 dan berjaya membantu skuad Pulau Mutiara itu menjulang Piala Sumbangsih bagi musim 2002/2003.

Ketika ini, Penang FC berada di kedudukan ke-11 Liga Super dengan 11 mata hasil dua kemenangan, lima keputusan seri dan tujuh kekalahan dalam 14 perlawanan setakat ini.

Tugasan pertama bagi Wan Rohaimi bersama Penang adalah berdepan Kuching City bagi aksi pusingan 16 Piala Malaysia yang dijadualkan pada 21 November di Stadium Bandaraya.