Pendatang baru SuperLig, Kocaelispor dilaporkan berminat mendapatkan khidmat penyerang baharu Harimau Malaya, Joao Figueiredo.
Selepas mengesahkan kenaikan pangkat ke SuperLig musim 2025/26, jurulatih Kocaelispor, Selcuk Inan mula mengenal pasti pemain yang berpotensi menyertai pasukan itu.
Kini, portal Nokta Gazetesi memaklumkan nama Figueiredo berada dalam senarai pemain yang cuba didapatkan kelab yang berpangkalan di wilayah Kocaeli itu.
Sepanjang bersama kelabnya, Istanbul Basaksehir, penyerang berusia 29 tahun itu merekodkan 102 penampilan, 24 gol dan empat bantuan gol.
Meskipun begitu, Kocaelispor perlu berbelanja sedikit jika ingin mendapatkan Figueiredo. Ini kerana bekas penyerang Gaziantep FK itu masih memiliki baki kontrak setahun.
Kocaelispor sudah mula mengorak langkah memburu pemain baru untuk musim 2025/26. Kelab Turkiye itu dilaporkan hampir mendapatkan penyerang Nigeria, David Okereke.
Okereke dilabel penyerang yang ditakuti Jose Mourinho kerana kerap meledakkan gol setiap kali bertemu kelab yang dibimbing bekas pengurus Manchester United itu.