Advertisement

Follow us:

Pengadil Akui Merompak Kemenangan Arsenal

Arsenal Brentford EPL Ben Jacobs Pengadil Akui Merompak Kemenangan Arsenal
Ben Jacobs
Azim Noor
@mohdazim45
3:01pm 13/02/2023
Pivo

Perlawanan EPL pada minggu lepas diselubungi dengan dua kontroversi VAR membabitkan pendahulu liga, Arsenal dan Brighton. Susulan itu, ketua badan pengadil liga (PGMOL), Howard Webb mengakui kesilapan yang berlaku dan memohon maaf kepada kedua-dua pasukan.

Arsenal mengamuk selepas VAR didapati terlupa melukis garis ofsaid untuk insiden gol penyamaan Brentford pada minit ke-74. Sementara pengurus Brighton, Roberto De Zerbi panas hati selepas VAR tersilap melukis garis ofsaid pada pertahanan Palace sekaligus membatalkan gol mereka.

‘Howard Webb sudah menghubungi kedua-dua Arsenal dan Brighton untuk mengakui dan menerangkan kesilapan yang berlaku dalam proses VAR.

‘Kedua-dua insiden yang berlaku akibat kesilapan manusia berkait dengan situasi ofsaid. sedang disemak teliti,” kata PGMOL dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Dua insiden ini memberi kesan kepada aspirasi berbeza kedua-dua pasukan. Dengan keputusan seri 1-1 dengan Brentford di Stadium Emirates pada Sabtu, Arsenal hanya dipisahkan tiga mata dengan Manchester City. Ini selepas Citizens merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Aston Villa semalam.

Bagi Brighton pula, mereka kini dipisahkan enam mata dengan pasukan yang menduduki tangga keempat, Newcastle United. Tempat keempat merupakan slot terakhir EPL untuk Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pada Sabtu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengamuk dengan keputusan VAR membenarkan gol penyamaan Brentford yang dijaringkan Ivan Toney. “Saya baru melihat semula gol tersebut dan mendapati ia memang ofsaid.

“Ada mereka jelaskan kenapa ia tidak dibenarkan. Tidak. Ia memang mengecewakan tetapi mereka akan memberi penjelasan beberapa hari selepas itu. Hari ini, kami langsung tidak mendapatnya,” katanya dalam temubual pasca-perlawanan.

Disebabkan dua kesilapan besar ini, nasib dua pegawai VAR iaitu Lee Mason (Arsenal-Brentford) dan John Brooks (Crystal Palace-Brighton) bakal diketahui esok. Ini selepas PGMOL bakal mengadakan mesyuarat tergempar pada Selasa bagi membincangkan isu yang berbangkit.

PGMOL sedang menilai apa bentuk tindakan yang menanti Mason dan Brooks. Ini termasuk pemecatan sekiranya badan pengadil liga itu merasakan kesilapan yang dibuat boleh dijadikan asas sebagai pemecatan.