Pengerusi Kuching City FC, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman tak berminat merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya sama ada berminat untuk bertanding merebut jawatan utama badan induk itu.
Antara sebab Fazzrudin menolak ialah fokusnya membangunkan bola sepak Sarawak. Ini sebahagian daripada usahanya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).
“Saya belum berminat untuk menyertai FAM. Fokus saya kini adalah untuk membangunkan bola sepak di Sarawak,” katanya seperti dilaporkan TVS.
“Kami masih mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan di sini. Walaupun saya melihat FAM memerlukan pemimpin yang berpengalaman, saya lebih ingin memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di Sarawak kerana itulah tanggungjawab saya di FAS.”
Fazzrudin turut menegaskan kepimpinan baharu FAM bukan saja perlu memiliki pengalaman dalam dunia bola sepak.
Malah, barisan pemimpin baharu badan induk itu juga perlu memiliki hubungan dengan badan-badan berkepentingan seperti Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kerajaan.
““Ini bukan masa untuk mencuba-cuba,” ujarnya.
“Pihak AFC dan FIFA sudah memantau, jadi kita memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dan memiliki jaringan yang kukuh dengan pihak berkepentingan seperti AFC, FIFA dan juga kerajaan untuk mempersiapkan semula FAM untuk menghadapi cabaran yang akan datang.”
Selepas barisan Exco FAM meletak jawatan secara kolektif pada Januari lalu, fokus mula tertumpu kepada siapa calon berpotensi sebagai presiden badan induk itu.
Sesetengah pihak mencadangkan KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kembali menerajui FAM buat kali kedua.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula sedia menawarkan diri bertanding untuk merebut jawatan berkenaan.