Pengurus Rangers, Derek McInnes mengakui anak buahnya bernasib baik selepas melihat pasukan itu diikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-2.
Aksi kedua-dua pasukan itu merupakan sebahagian daripada aksi pemanas badan kedua-dua pasukan sebelum mengharungi musim 2026/27. Ini aksi pramusim pertama JDT dengan Rangers pula sudah beraksi sebanyak tiga kali.
Meskipun ini aksi pramusim pertama JDT, itu tidak menghalang juara Liga Super itu mendahului menerusi dua gol Bergson da Silva. The Light Blues memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi dua gol Tochi Chukwuani.
Apabila diminta mengulas tentang keseluruhan permainan, McInnes mengakui kualiti yang dimiliki Harimau Selatan. Ini termasuk kepantasan mereka memanfaatkan kesilapan yang dilakukan benteng Rangers pada awal separuh masa kedua.
McInnes turut menyifatkan ini satu ujian yang bagus buat anak buahnya sebelum aksi pramusim berikutnya menentang St. Etienne di Ibrox pada 22 Julai ini.
“Saya tahu gol pertama ialah contoh sebenar (kualiti JDT) dan gol kedua, kami tergelincir (dan melakukan kesilapan) lalu ia membawa kepada gol kedua (buat JDT). Jadi, kami perlu melakukan semuanya dan saya gembira dengan tindak balas pemain.
“Tiada siapa yang (mahu) menerima kekalahan, tiada siapa yang (mahu) menerima (keputusan) seri dan kami terus berusaha untuk mendapatkan gol kemenangan dengan dua gol cemerlang daripada Tochi.
“Jadi saya fikir kami layak memperoleh keputusan ini dan ia ujian yang bagus menentang pasukan yang saya katakan sedang bermain dengan baik musim ini,” katanya selepas perlawanan.
Selepas ini, JDT akan turun menentang kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq dan CD Contestano pada 19 dan 20 Julai ini.