Nama peninju wanita Itali, Angela Carini menjadi sebutan sejak 1 Ogos lalu apabila menarik diri selepas 46 saat bertarung dalam acara tinju wanita Sukan Olimpik 2024.
Carini berbuat demikian selepas tidak tahan ditumbuk lawannya dari Algeria, Imane Khelif dalam aksi awal pusingan 16 peninju terbaik. Perlawanan ini dianggap kontroversi disebabkan status Khelif.
Ini kerana peninju Algeria itu gagal melepasi ujian testosteron dan kelayakan jantina yang digubal Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) pada 2023. Ini kerana Khelif didakwa memiliki kromosom XY iaitu kromosom untuk jantina lelaki.
Semakan yang dibuat pada kes peninju Algeria itu mendapati beliau mengalami masalah kelainan pada perkembangan seks (DSD). Meskipun cuba memperjuangkan kesnya, usaha Khelif tidak berhasil.
Kegagalannya melepasi ujian berkenaan menyebabkan beliau tidak layak bertanding dalam aksi final Kejohanan Tinju Dunia di New Delhi, India.
Meskipun gagal melepasi ujian berkenaan, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kemudiannya meluluskan penyertaan Khelif dan peninju Chinese Taipei, Lin Yu‑ting dalam temasya Sukan Olimpik 2024.
Keputusan itu dibuat IOC meskipun dibantah beberapa penggiat sukan wanita. IOC memaklumkan keputusan itu dibuat kerana badan induk itu perlu berlaku adil kepada semua atlet wanita yang bertanding ke Olimpik termasuk yang mempunyai isu DSD.
Selepas perlawanan, Carini mengakui kecewa dengan apa yang berlaku. Pada masa sama, peninju berusia 25 tahun itu memilih untuk menarik diri atas faktor keselamatan dan kesihatan dirinya.
“Saya patah hati. Saya pergi ke gelanggang untuk memberi penghormatan kepada ayah saya. Saya diberitahu banyak kali bahawa saya seorang pahlawan tetapi saya lebih suka berhenti demi kesihatan saya. Saya tidak pernah merasakan pukulan seperti ini.
“Saya masuk ke gelanggang untuk bertarung. Saya tidak berputus asa tetapi satu pukulan terlalu menyakitkan dan jadi saya kata cukup. Saya akan keluar dengan rasa bangga.
“Selepas pukulan kedua, setelah bertahun-tahun pengalaman, saya merasakan sakit yang kuat di bahagian hidung. Saya berkata cukuplah kerana saya tidak mahu,” katanya seperti yang dilaporkan The Guardian.
Susulan kontroversi yang timbul, Jawatankuasa Olimpik Algeria (COA) mengecam sekeras-kerasnya apa yang berlaku. Ini kerana mereka merasakan Khelif menjadi sasaran sesetengah portal media asing yang tidak bertanggungjawab.
“Kami mengutuk keras penyasaran dan fitnah yang tidak beretika terhadap atlet kami yang dihormati, Imane Khelif dengan propaganda yang tidak berasas dari media asing tertentu.
“Serangan seperti itu terhadap keperibadian dan martabatnya sangat tidak adil terutama ketika beliau bersiap untuk kemuncak kariernya di Olimpik. COA telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi juara kami,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Khelif bakal mara ke pusingan seterusnya dan melihat siapa lawan berikutnya di peringkat suku akhir. Ini penyertaan kedua beliau dalam Sukan Olimpik selepas edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Kontroversi ini juga dijangka menimbulkan persoalan sama ada individu yang mengalami DSD patut dibenarkan beraksi dalam sebarang pertandingan sukan wanita atau tidak.
Penganjuran sukan tinju dalam temasya Sukan Olimpik 2024 dikendalikan oleh IOC. Ini kali kedua IOC melakukannya selepas edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Ini selepas IBA kehilangan status kelayakan mereka pada 2023 sebagai badan pentadbir sukan berkenaan selepas dibelenggu pelbagai isu termasuk rasuah dan tadbir urus.
Pengganti IBA, World Boxing berharap sukan tinju akan dapat dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik seterusnya di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.