Penyerang import Perak, Seo Seonung telah disahkan mengalami kecederaan patah hidung dalam perlawanan aksi pertama Piala Malaysia ketika menentang Kedah semalam.
Perkara ini telah disahkan oleh jurulatih Perak, Yusri Che Lah yang menyatakan Seo Seonung telahpun dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.
“Pihak perubatan pasukan Perak mengesahkan beliau telah patah hidung dan telah dihantar ke Hospital bagi rawatan lanjut” kata jurulatih Perak, Yusri Che Lah dalam sidang media selepas tamat perlawanan.
Insiden tersebut terjadi ketika perlawanan pusingan pertama menentang Kedah malam tadi.
Beliau telah disepak oleh pertahanan Kedah, Rodney Celvin selepas berlaku pergelutan bola di udara.
Sejurus selepas itu, pengadil perlawanan, Muhammad Usaid Jamal telah melayangkan kad merah kepada Rodney Celvin.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan Perak 3-1 Kedah yang berlangsung di Stadium Ipoh, Perak.