Penyokong Besiktas Lempar Patung Haiwan Ke Padang Sebagai Derma
Inspirasi
Lega Serie A
Advertisements

Tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye baru-baru ini mendorong ramai pihak tampil menghulurkan bantuan. Bagi kelab Super Lig Turki, Besiktas, cara mereka membantu ialah mengumpulkan patung-patung permainan yang dilempar penyokong ke tepi padang sebagai derma.

Perlawanan membabitkan Besiktas dan Antalyaspor itu dihentikan seketika pada minit keempat dan 17 saat. Detik ini dianggap penting kerana ia mewakili 4.17 pagi, waktu gempa bumi melanda sebahagian wilayah di Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu.

Pada masa itulah, penyokong kedua-dua pasukan melempar patung-patung permainan dari tempat duduk mereka untuk diberi kepada kanak-kanak di wilayah-wilayah Turkiye dan Syria yang terjejas akibat bencana alam itu.

Advertisements

“Penyokong-penyokong kami mengaturkan satu program amal yang dipanggil ‘Permainan Ini Rakan Saya’ semasa perlawanan bagi menaikkan moral kanak-kanak yang terkesan akibat gempa bumi.

“Penyokong-penyokong membaling skarf, beret dan patung-patung permainan haiwan untuk diberi sebagai hadiah kepada kanak-kanak di wilayah yang terjejas,” kata Besiktas dalam satu kenyataan.

Sebelum perlawanan, pemain-pemain The Black Eagles memakai baju yang memaparkan bandar-bandar di selatan Turkiye yang terjejas akibat gempa bumi. Para penyokong turut memberi tepukan gemuruh kepada anggota-anggota pasukan penyelamat yang hadir sebagai tetamu di Stadium Vodafone.

Advertisements

Walaupun perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0, bagi pemain pertahanan Tayyib Sanuc, terdapat perkara yang lebih penting daripada bola sepak.

“Terdapat benda yang lebih penting daripada bola sepak. Kita sedang mengharungi detik sukar ini sebagai sebuah negara. Kita akan pulih daripada luka ini bersama-sama.

“Para penyokong menganjurkan satu program yang cukup bermakna – saya merasa amat terharu. Saya harap kita tidak akan mengalami bencana sebegitu lagi,” katanya.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram