Final pertama MFL Challenge Cup antara Penang FC dan Sabah FC pada Sabtu di Stadium Bandaraya dijangka meriah.
Ini kerana pengurusan Penang memaklumkan jualan tiket secara dalam talian untuk aksi tersebut sudah habis dijual.
Pengurusan Harimau Kumbang turut memaklumkan 6,316 tiket bukan saja sudah terjual untuk aksi tersebut.
Malah, mereka juga memaklumkan bilangan tiket fizikal untuk Zon C saja yang masih ada tetapi dalam bilangan terhad.
Penyokong Sabah masih berkesempatan untuk mendapatkan tiket fizikal untuk Zon D. Ini kerana jualan tiket fizikal pada hari perlawanan dibuka kepada penyokong dari jam 3:00 petang hingga 9:45 malam.
Kehadiran penyokong yang ramai bukan saja bakal menyemarakkan suasana final pertama MFL Challenge Cup antara Penang dan Sabah.
Malah, ini berpotensi menyuntik semangat Penang untuk mengakhiri kemarau trofi mereka selama 24 tahun.