Selepas E. Elavarasan meninggalkan tugasnya sebagai jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, sehingga kini masih tiada khabar berita siapakah individu yang benar-benar layak menggalas tugas mencabar itu.
Ini kerana jurulatih yang dipilih itu nanti bakal membawa cabaran Malaysia ke Qatar bagi kejohanan Piala Asia B-23. Baru-baru ini satu undian atau poll telah dibuat oleh pengulas sukan ternama dari Astro Arena, Hafizal Hamad mengenai calon-calon untuk menjadi jurulatih skuad bawah 23 negara.
Dalam undian tersebut, tiga nama jurulatih telah diletakkan sebagai pilihan. Tiga nama tersebut adalah Akmal Rizal Ahmad Rakhli (Jurulatih Penang B23), Nidzam Jamil (Pembantu jurulatih Selangor FC) dan Yusri Che Lah (Jurulatih Perak FC).
Sebanyak 3718 undian telah direkodkan dengan Yusri Che Lah mendapat peratusan tertinggi iaitu sebanyak 55.6 peratus diikuti Nidzam Jamil yang memperolehi 33.5 peratus. Akmal Rizal berada di tangga ketiga dengan undian 10.9 peratus.
Walaupun ini hanyalah undian di alam maya, namun undian yang dibuat ini sedikit sebanyak membawa suara penyokong bola sepak tanah air yang mahukan perubahan untuk skuad B-23 negara yang bakal ke Piala Asia tahun hadapan.
Akmal Rizal hampir pasti tidak akan menjadi jurulatih B-23 negara buat masa ini apabila bekas pemain Kedah dan Selangor itu menidakkan khabar angin yang mengaitkan beliau bakal menggantikan E. Elavarasan.
Sehingga kini, kerusi jurulatih skuad kebangsaan B-23 masih lagi kosong. Namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan bahawa pengganti Elavarasan akan diumumkan dalam masa terdekat selepas perbincangan dilakukan.