Pasukan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC semakin hilang kepercayaan daripada para penyokongnya susulan aksi longlai sejak beberapa perlawanan sebelum ini.
Anak didik Xavi Moro jelas bergelut untuk mencatat kemenangan dalam beberapa aksi kebelakangan ini tatkala ketumpulan jentera serangan telah menyukarkan rentak mereka musim ini.
The Dragons hanya berupaya untuk mencatat dua kemenangan dalam tujuh aksi terakhir dengan purata jaringan setiap perlawanan adalah satu gol.
Sungguhpun dibarisi nama-nama pemain handalan seperti Safawi Rasid, Moussa Sidibe, Derlay, Suttichok Kanoo dan ramai lagi pada bahagian serangan, keserasian mereka jelas menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Bagi aksi hujung minggu ini berdepan Chiang Rai United, para penyokong risau dengan kemampuan pasukan untuk meraih mata penting dalam perlawanan ini.
” Kita kini berada di tempat ke-4, kalau kita tidak menang, kita akan jatuh ke tangga ke-7 kerana Muangthong sedang menghampiri kita.”
“Kita nak dapatkan satu mata pun sukar dan jika kita gagal, Port FC akan memotong kita selepas ini,” jelas mereka di laman Facebook pasukan.
Perbezaan yang dekat antara kedudukan pasukan dalam liga menyebabkan mana-mana pasukan boleh dipintas sekiranya tidak dapat mengekalkan prestasi yang diharapkan.
Ratchaburi kini berada pada kedudukan ke-4 dengan 34 mata dan terikat dengan Chiangrai United sambil hanya dipisahkan 2 mata dengan Muangthong dan Port FC.