Seorang pemuda melakukan kejutan apabila membeli jersi Kuala Lumpur City FC bagi edisi musim 2021 milik Safee Sali dengan harga ribuan ringgit.
Pemilik akaun Tiktok, Baksniika mendedahkan beliau berjaya membida jersi milik bekas penyerang Harimau Malaya tersebut dan memenanginya dengan harga RM2222.
“Sebenarnya saya sendiri yang beli jersi itu (jersi KL City). Saya sasar untuk (beli jersi) Harimau Malaya (Safee Sali) tapi tak sempat. Jadi saya dapat yang KL City.
“KL City ni hebat juga sebab satu-satunya pasukan yang dapat kalahkan JDT pada final,” jelas Baksniika di laman Tiktok.
Umum mengetahui, KL City berjaya menewaskan JDT pada aksi final Piala Malaysia 2021 di mana Safee turut berada di dalam pasukan tersebut.
Bagi Baksniika, hasrat beliau untuk memiliki jersi tersebut adalah untuk merasai dan menghargai barangan bersejarah.
“Terima kasih abang Safee Sali kerana berbagi kenangan jadi orang macam saya ni dapatlah beli, merasai dan menghargai barang-barang bersejarah ini,” katanya lagi di akhir video.
Safee Sali kini sedang rancak melepaskan jersi-jersi miliknya yang disimpan rapi. Setiap pembelian perlu melalui proses bidaan malah ada yang mencapai harga RM 8000 untuk sehelai jersi.