Prestasi longlai Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 10 Jun lalu mendorong seorang penyokong memecahkan televisyen.
Perbuatan tersebut dikongsikan seorang pengguna X bernama Maqwell semasa perlawanan antara Harimau Malaya dan Vietnam berlangsung.
Maqwell merasa kecewa kerana Vietnam bukan saja dibolosi empat kali oleh tuan rumah. Malah, dia juga menganggap prestasi hambar anak buah Kim Sang-sik menyumbang kepada kekalahan itu.
Hal ini mendorong Maqwell bertindak memecahkan sebuah televisyen dalam satu keraian anjurannya yang dihadiri 30 orang tetamu.
“Saya baru pecahkan televisyen saya di hadapan 30 orang tetamu di parti saya disebabkan perlawanan tersebut. Isteri saya bawa keluar anak-anak kami yang menangis dan memaklumkan mereka akan menginap selama seminggu di sebuah hotel.
“Pasukan ini sudah menjejaskan kehidupan saya dan parti saya. Saya tak boleh terima situasi ini lagi. Selamat tinggal Vietnam. Saya bukan lagi menjadi peminat,” katanya.
Ciapan Maqwell tular di media sosial sejak ia dimuat naik pada malam 10 Jun lalu. Malah, ia turut diulang ciap beberapa akaun X terkemuka termasuk pemerhati bola sepak Thailand, All Things Thai Football.